Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Polis menafikan dakwaan pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan judi di sebuah premis telekomunikasi di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali seperti video yang tular ketika ini memaparkan sekumpulan penduduk kampung membantah depan premis berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan yang tular dalam aplikasi TikTok berkaitan kejadian sekumpulan penduduk kampung berkumpul itu pada pukul 12 tengah hari semalam.

“Video berkenaan memaparkan sekumpulan penduduk Kampung yang mendakwa aktiviti perjudian di kawasan terbabit terlepas pandang sehingga mereka terpaksa bertindak sendiri.

“Kita sudah melakukan empat siri serbuan di premis berkenaan sebelum ini. Serbuan pertama dibuat pada 5 Januari lalu dan pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun bersama-sama wang rampasan RM210,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah video dalam TikTok tular kelmarin mendakwa polis tidak mengambil tindakan sesuai terhadap aktiviti perjudian hingga mengakibatkan penduduk bertindak sendiri dengan menyerbu premis

Raub berkata, serbuan kedua dilakukan pada 15 Februari lalu dan polis berjaya menangkap seorang  lelaki warga tempatan berusia 29 tahun bersama-sama wang rampasan RM80.

“Serbuan ketiga dilakukan pada 27 Februari lalu dan polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun bersama-sama wang rampasan RM335 manakala serbuan keempat pada 27 Jun lalu, polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bersama-sama wang rampasan RM62,” katanya.

Pihaknya membuka dua kertas siasatan di bawah seksyen 4a(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 atau
penjara tidak lebih lima tahun.

Menurutnya, sebanyak dua lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih lima tahun.

Katanya, daripada jumlah tangkapan tersebut, seorang lelaki warga tempatan dituduh di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 pada 30 Mei lalu dan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara manakala tiga lagi kertas siasatan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan pertuduhan.

“Polis juga mengambil tindakan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis tersebut pada 22 April 2024 dan sehingga kini tiada lagi penyambungan semula bekalan elektrik diluluskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tindakan mencegah aktiviti perjudian tanpa lesen di premis itu,” katanya.

Polis, katanya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket perjudian dan sentiasa komited dalam memastikan tiada sebarang bentuk aktiviti seumpamanya bertapak di negeri ini.

Tindakan penguatkuasaan menyeluruh ke atas aktiviti perjudian tanpa lesen akan terus dipergiat membabitkan semua aspek termasuk pemotongan bekalan elektrik di bawah peruntukan Seksyen 21a Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.

“Justeru, polis menyeru kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian boleh menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast