Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Terlalu sibuk dengan program yang bersambung-sambung sepanjang hari menjadi punca utama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melakukan kesilapan dalam ucapan pada Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil.

Ketua Penerangan UMNO Bagan, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, sebagai pemimpin utama Presiden UMNO itu mempunyai jadual yang ketat dengan sebelah siang menghadiri program di Gua Musang, Kelantan.

“Saya berpendapat, program ‘back-to-back’ beliau sendiri atas kapasiti seorang pemimpin parti menjadi faktor utama kekhilafan tersebut.

“Beliau terus ke program di Bukit Jalil selepas program perasmian Mesyuarat Bahagian UMNO dan sebelum itu program penuh di Nenggiri, Gua Musang,” katanya dalam perkongsian di Instastory.

Nurulhidayah yang juga Exco Wanita UMNO bagaimanapun berkata, Ahmad Zahid tidak sewajarnya melakukan kesilapan berkenaan.

Nanum tambah beliau, Ahmad Zahid akan meneruskan perjuangan bersama-sama kerajaan untuk membantu rakyat Palestin yang ketika ini berhadapan pembunuhan beramai-ramai.

“Walaubagaimanapun, sebagai pemimpin utama parti adalah tidak wajar kesilapan ini berlaku walau atas apa alasan sekali pun

“Saya yakin, beliau tetap terus istiqamah bersama-sama kepimpinan Kerajaan Perpaduan dalam usaha pembebasan Palestine daripada kekejaman Israel,” kata Nurulhidayah.

Ahmad Zahid telah memohon maaf berikutan melakukan kesilapan tersebut.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kekhilafan berlaku kerana beliau menyampaikan ucapan penuh semangat dalam membela nasib rakyat Palestin.

“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.

“Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin! Allahu Akbar,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dalam ucapan kira-kira selama lapan minit di hadapan kira-kira 15,000 hadirin Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tersilap menyebut nama Israel pada tempat yang salah.

Beliau tanpa menyedari telah melaungkan “Hidup Israel” dan “rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum akan terus berikan sokongan kepada Israel”.

Pihak yang tidak bertanggungjawab bagaimanapun menularkan kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, Malaysia perlu menunaikan wasiat terakhir Ismail Haniyeh yang meminta supaya keadilan buat rakyat Palestin dan membebaskan negara itu daripada penjajahan Israel terus diperjuangkan.

Ia susulan amanat terakhir yang disampaikan Ismail beberapa jam sebelum dibunuh kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika bertemu di Tehran ketika menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran yang baharu.

Sehingga kini Israel telah membunuh hampir 40,000 rakyat Palestin di Gaza selain melakukan kemusnahan besar-besaran di wilayah berkenaan. – MalaysiaGazette