Dong Zong

SUBANG JAYA – Masyarakat Cina tidak perlu cuak dengan pertambahan pelajar bukan Cina dalam sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) akan mengubah ciri-ciri khas sekolah aliran itu.

Pengerusi Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Tan Yew Sing berkata, masyarakat Cina sebaliknya perlu mempunyai keyakinan dan melihat peningkatan jumlah pelajar bukan Cina sebagai satu sumber kekuatan.

Katanya, terdapat penyelidik yang berpendapat bahawa jika jumlah pelajar bukan Cina melebihi 30 peratus, maka kerajaan tidak mungkin akan memansuhkan SRJKC yang menjadi  sekolah pelbagai kaum.

Semasa menerima wawancara China Press, Yew Sing berkata, penurunan peratusan pelajar Cina dalam SRJKC bukan sesuatu yang mengejutkan susulan kejatuhan peratusan kaum Cina dalam populasi Malaysia.

Namun, walaupun berlaku penurunan dari peratusan, keadaan itu tidak semestinya melambangkan penurunan dari segi jumlah pelajar.

“Yang pentingnya, jika jumlah pelajar bertambah di SRJKC, termasuk peningkatan jumlah pelajar Cina dan peningkatan peratusan pelajar bukan Cina, maka kerajaan harus mempertimbangkan pembinaan lebih banyak SRJKC,” katanya.

Yew Sing menegaskan, SRJKC bukan pendidikan orang Cina tetapi pendidikan bahasa Cina.

“Sesiapa yang mahu mengalami asuhan budaya Tionghua, menguasai bahasa Cina dan budaya Tionghua, mereka akan memilih untuk belajar di SRJKC.

“Tidak kira SRJKC atau sekolah persendirian Cina, kami tidak boleh menolak pelajar yang ada niat untuk belajar.

“Kami perlu mengambil kira soal ini dalam reformasi pendidikan kami, tetapi kami tidak harus cuak dengan berpendapat pelajar bukan Cina akan mengubah ciri-ciri sekolah Cina,” katanya.

Yew Sing berkata, pelajar bukan Cina memilih SRJKC kerana mereka mahu belajar bahasa Cina .

“Mereka akan belajar di sekolah kebangsaan (SK) sahaja jika mereka ada niat mahu mengubah ciri-ciri SRJKC,” katanya.

Beliau bagaimanapun juga berkata, murid-murid yang memilih untuk belajar di SRJKC perlu menerima ciri-ciri khusus  sekolah aliran itu.