Perjumpaan bersama Meta di Pejabat Perdana Menteri, 5 Ogos, 2024. Foto Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO itu berkata, tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.

Ia turut menegaskan tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi
kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami
penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti
terpahat dalam lipatan sejarah.

“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap
konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar
penapisan kandungan Meta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah memanggil Meta  hari ini bagi menuntut penjelasan terkait tindakan
penurunan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik perdana menteri bertarikh 14 Mei dan 30 Julai lalu.

Pertemuan itu berlangsung pada jam 2 petang tadi.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad
Salim Fateh Din.

Dalam perkembangan berkaitan, PMO juga kesal dengan insiden
sekatan siaran langsung menerusi Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang
menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin malam semalam.

Justeru, PMO telah menuntut beberapa perkara, termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak Meta, serta permohonan maaf secara terbuka daripada Meta.

“Seperti yang telah dijanjikan di dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat,” tambahnya.

Selain sekatan terhadap hantaran Anwar mengenai ucapan takziah di atas kematian Haniyeh, sekatan itu turut berlaku terhadap siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin di dianjurkan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast