Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dinasihatkan untuk meninggalkan parti itu kerana bukan sahaja tidak mempunyai kuasa dan peranan untuk dimainkan tetapi juga disebabkan tidak mempunyai ‘anak laki-laki’

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)  Nenggiri telah membuka kelemahan Bersatu.

Menurut beliau, parti itu terpaksa mengambil ‘anak lelaki Pas’ untuk dijadikan calon Bersatu dalam pilihan raya tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu berkata, kegagalan Bersatu untuk melaksanakan impiannya untuk mengantikan UMNO adalah kerana terlalu bergantung kepada Pas.

Serentak itu beliau menggesa supaya semua ahli Bersatu untuk meninggalkan parti tersebut dan memilih sama ada untuk menjadi ahli Pas atau UMNO seperti yang dilakukan oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Muas.

“Kelemahan utama Bersatu ialah parti itu tidak memiliki kekuatan sendiri. Ia banyak bergantung kepada Pas. Itu sebab Bersatu gagal mengambil alih peranan UMNO.

“Parti itu didominasi oleh pelompat transit. Mereka jadikan Bersatu pusat transit untuk kembali berkuasa. Maka talent baru tersekat kerana dominasi pelompat transit ini.

“Itu punca Bersatu tidak cukup anak lelaki sampai pinjam lelaki Pas untuk jadi calon. Nenggiri buka pekung Bersatu. Jalan terbaik ialah kembali kepada UMNO atau sertai Pas. Ikut Annuar Musa. Tinggalkanlah Bersatu. Kuasa tidak ada, peranan pun tidak ada. Laki-laki makin pupus,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, pencalonan bekas timbalan ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon mewakili Bersatu di DUN Nenggiri umpama “kakak menolong adik”.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana tindakan Rizwadi keluar Pas direstui pucuk pimpinan.

“Apa yang saya boleh katakan, Pas dan Bersatu adalah dua beradik yang berada dalam keluarga PN.

“Pas adalah kakak, manakala Bersatu adalah adik. Situasi yang berlaku apabila si adik mempunyai ladang, kebun getah yang luas namun kekurangan anak lelaki menyebabkan dia meminta anak daripada kakaknya untuk membantu.

“Manakala bagi pihak kakak (Pas), sudah tentu dia akan membantu apabila adiknya meminta pertolongan. Situasi inilah yang berlaku di PRK Nenggiri,” katanya ketika berceramah di Kampung Bertam Lama, Gua Musang, malam tadi.

Takiyuddin memberi analogi itu sebagai mengulas kritikan terhadap calon Rizwadi yang dianggap sebagai calon dari Pas meskipun dia menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast