Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf berikutan melakukan kesilapan ketika berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di sini malam tadi.

Kekhilafan berlaku kerana beliau menyampaikan ucapan penuh semangat dalam membela nasib rakyat Palestin.

“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara. Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin! Allahu Akbar,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dalam ucapan kira-kira selama lapan minit di hadapan kira-kira 15,000 hadirin Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tersilap menyebut nama Israel pada tempat yang salah sebanyak dua kali.

Beliau melaungkan “Hidup Israel” dan “rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum akan terus berikan sokongan kepada Israel”.

Kesilapan dalam ucapan itu telah ditular di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam perhimpunan itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet.

Himpunan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang berhadapan dengan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Serangan lebih 300 hari sejak Oktober tahun lalu telah menyebabkan kira-kira 40,000 terkorban.- MalaysiaGazette