Salah seorang daripada 14 pengikut ajaran sesat Milah Abraham didakwa di Mahkamah Syariah Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak.

BATU PAHAT – Seramai 14 pengikut ajaran sesat Millah Abraham didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Namun tiada pengakuan direkodkan ke atas kesemua 11 tertuduh lelaki dan tiga tertuduh wanita selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.

Semua mereka didakwa di bawah Seksyen 9 dan Seksyen 13(1)(b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali, juga akan dikenakan pelucutan hak dan hadir kaunseling, sekiranya disabitkan kesalahan.

Salah seorang daripada 14 pengikut ajaran sesat Milah Abraham didakwa di Mahkamah Syariah Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak.

Prosiding tersebut adalah untuk sebutan bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing di tempat tempat kejadian berlaku selari dengan Seksyen 67 Enakmen yang sama.

Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap kes dengan dua penjamin warga negara.

Sebelum itu, kesemua tertuduh dibawa menaiki van tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.45 pagi dengan dikawal rapi anggota polis dan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Sebelum itu, Ahad lalu, portal ini melaporkan 17 pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat pada 1 Ogos lalu.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dengan kerjasama Unit Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Ajaran Millah Ibrahim/Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai, 2015 dan diwartakan pada 28 April, 2016 sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara fahaman salah ajaran itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza. – MalaysiaGazette