GEORGE TOWN – Parlimen bercadang untuk mempunyai seramai 222 Ahli Parlimen Belia dari setiap konstitusi berbanding 100 ahli ketika ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perkara itu akan dilaksanakan selepas penggal ini berakhir dan pihaknya sedang melihat semula peranan Parlimen Belia yang disertai dalam kalangan mereka berusia 18 hingga 25 tahun.
Jelas beliau, Parlimen Belia sebelum ini di bawah Kementerian Belia dan Sukan kini diletakkan di bawah Parlimen agar mempunyai fungsi secara menyeluruh.
“Mereka (Ahli Parlimen Belia) akan masuk tiga kali mesyuarat dalam setahun seperti di Parlimen sekarang dan harapan saya inilah anak-anak muda yang akhirnya menjadi ahli Parlimen kita di masa hadapan.
“Tajuk-tajuk yang mereka bawa untuk perbahasan pun saya sudah masuk dan dengar..memang ada kualiti dan saya harap mereka akan teruskan amalan yang baik ini dan akhirnya menjadi ahli parlimen yang berkualiti dan berintegirit.
“Ini juga akan memberikan keyakinan kepada kita bahawa Malaysia berada di jalan yang betul,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Lawatan itu merupakan siri jelajah beliau bagi mengadakan sesi libat urus di semua DUN Semenanjung sebelum membentangkan kertas kerja pada persidangan speaker-speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 di Kuching, Sarawak pada 11 hingga 15 September depan. – MalaysiaGazette