Johari (tiga dari kanan) mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan bagi tempoh tertentu kemungkinan berdepan risiko kehilangan elaun sebaik Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) dikuatkuasakan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, PSA telah jelas menggariskan keperluan kehadiran ahli Parlimen termasuk mereka yang tidak hadir bersidang selama enam bulan tanpa alasan sah mungkin kehilangan kerusi.

Jelas beliau, tidak semua ahli Parlimen boleh menghadiri semua sesi persidangan pada setiap masa kerana masing-masing mempunyai tugasan rasmi khususnya ahli Kabinet, namun kehadiran adalah wajib melainkan ada perkara lain yang tidak dapat dielakkan.

Johari.

“Memang tiada lagi Ahli Parlimen yang kehilangan kerusi atas sebab ini setakat ini tapi langkah baharu itu penting untuk memastikan tanggungjawab dalam menghadiri persidangan.

“Berdasarkan PSA, saya mencadangkan ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan untuk tempoh tertentu akan kehilangan elaun mereka.

“Apa-apa pun kita tunggu PSA diluluskan Kabinet sebelum dibentang pada persidangan Parlimen nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini tidak akan mengganti atau memansuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Media pada Oktober tahun lalu melaporkan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat sedang melihat dengan serius langkah-langkah perlu yang lebih ketat dilaksanakan termasuk memotong elaun ahli Parlimen jika mereka berterusan tidak hadir ketika sesi sidang Parlimen.

Johari dilapor mencetuskan idea untuk memotong elaun ahli Parlimen yang tidak hadir ke sesi sidang Parlimen sebagai satu langkah mencegah ketidakhadiran dalam kalangan mereka.

Ia kerana Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen yang tidak hadir selama beberapa hari walaupun ahli Parlimen berkenaan dibayar RM500 sebagai elaun harian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast