Kumar menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam tiga serbuan, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU –  Anak dan ibu selain pasangan kekasih antara lima yang ditahan bersama-sama dadah bernilai RM1.8 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru pada 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu dilakukan di rumah teres di Johor Bahru dan Seri Alam pada pukul 12 tengah malam.

“Dalam serbuan tersebut tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 28 sehingga 59 tahun ditangkap bersama-sama sejumlah rampasan dadah iaitu 10,920 gram serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM1,823,640.

“Selain itu turut dirampas 95 gram ketamin (RM19,000), 3.45 gram syabu (RM379), 24.12 gram pil ekstasi (RM3,200) dan 155 gram pil erimin 5 (RM10,800).

“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 37,496 penagih” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita empat kenderaan (RM371,000), sebuah motosikal (RM8,500), wang tunai RM75,506, mata wang asing (RM2,783), pelbagai barangan kemas (RM52,735) dan seutas jam tangan mewah (RM20,000).

Kumar memberitahu, nilai rampasan dadah berjumlah RM1,857,019 serta nilai sitaan RM531,316 manakala jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan RM2.3 juta.

Modus operandi sindiket itu katanya, adalah menjadikan rumah teres sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Kata Kumar, pihaknya percaya sindiket berkenaan sudah aktif sejak Jun lalu dan polis masih mengesan dalangnya iaitu seorang lelaki tempatan yang masih bebas.

“Hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepines (benzo) manakala semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” ujarnya

Tambahnya, semua suspek direman tiga hari bermula hari ini.- MalaysiaGazette