Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil malawat pameran peralatan perfileman lama yang digunakan oleh FINAS pada Himpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 6 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia tidak berhasrat untuk membangunkan platform media sosial sendiri susulan tindakan Meta menurunkan kandungan daripada akaun Facebook Rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana kos untuk membina sesuatu platform ketika ini sangat tinggi, tambahan pula keutamaan kerajaan ketika ialah untuk membantu rakyat.

“Ketika ini pihak kerajaan perlu menyelesaikan banyak masalah seperti sekolah-sekolah daif dan klinik-klinik daif.

“Saya lihat keutamaan bagi pihak kerajaan bukan membangunkan platform media sosial yang baharu pada waktu ini,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi tidak menghalang mana-mana syarikat swasta tempatan yang berminat untuk membangunkan platform media sosial untuk kegunaan rakyat di negara ini.

“Sekiranya ada mana-mana pihak swasta di Malaysia yang berhasrat untuk membangunkan, itu terpulang kepada mereka.

“Kita tidak melarang dan mereka boleh berhubung dengan pihak MOSTI atau MDEC untuk mendapatkan bantuan.

“Tapi kita di pihak kerajaan waktu ini tidak melihat ia satu perkara yang menjadi keutamaan pada ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette