Bahrin menunjukkan dadah dibungkus dalam paket serbuk minuman tenaga yang dirampas selepas menahan seorang lelaki tempatan, pada sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang, hari ini.

KLUANG – Membungkus dadah dalam paket serbuk minuman tenaga bagi mengaburi kegiatan pengedaran bahan terlarang tersebut.

Itu modus operandi yang dilakukan seorang lelaki berusia 31 tahun namun kegiatannya berjaya dibongkar dalam satu serbuan polis di sebuah rumah di Taman Sam Hoe, di sini, pada 29 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu menahan suspek dan merampas 131 paket itu disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 880.70 gram sebungkus.

“Turut dirampas daripada suspek adalah tiga botol plastik disyaki mengandungi serbuk ekstasi 1,238.50 gram, 3 peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ketamin dengan anggaran berat 4.50 gram dan empat foil aluminium merah silver mengandungi dadah disyaki pil eramin 5 dengan anggaran berat kasar 11.20 gram.

“Selain itu, turut dirampas adalah satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis pil ekstasi anggaran berat kasar 61.20 gram serta sebuah kereta jenis Proton Saga untuk sitaan serta seutas rantai emas beserta loket dan wang tunai berjumlah RM2,300.

“Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM387,897.64,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.

Bahrin berkata, jumlah rampasan dadah berkenaan boleh digunakan sehingga 1,000 orang dan diedarkan kepada penagih di sekitar daerah ini serta kawasan berdekatan.

Ujarnya, hasil semakan, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala hasil saringan air kencing positif dadah jenis ketamin.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga semalam,” katanya.- MalaysiaGazette