ALOR GAJAH – Lima pekerja warga asing sebuah kilang ais terselamat dalam kejadian kebocoran gas ammonia di Kawasan Industri Pengkalan Balak, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, lima pekerja warga Nepal diarahkan keluar dan tidak mengalami kesan terhidu gas berkenaan.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan pihak bomba berusaha mengesan lokasi kebocoran gas di kilang terbabit,” katanya ketika dihubungi lewat malam tadi.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Pegawai Bomba Kanan I, Zaidi Kadiron pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.32 malam.
“Sepasukan 22 pegawai dan anggota dikejarkan lokasi kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dan BBP Alor Gajah.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati memang berlaku kebocoran gas ammonia jenis UN 1005 seperti yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataaan.
Menurutnya, operasi kerja-kerja mengambil bacaan udara menggunakan alat pengesan dilakukan dalam kilang oleh pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT).
“Tiada mangsa terlibat dan telah menamatkan operasi selepas memastikan tiada kemudaratan lain,” katanya. – MalaysiaGazette