Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan ahli-ahlinya supaya berhenti membincangkan isu tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menerusi media.

Ini kerana, menurut Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, isu tersebut masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, beliau menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.

“Amanah terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Semalam, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Menurut Mohd. Zuhan, ini kerana Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi DUN Mahkota itu sebagai gelojoh dan tamak.

Menurut Noor Azleen, Amanah juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baru meninggal dunia.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 13 Ogos ini untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata, ia susulan SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lalu. – MalaysiaGazette