Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Tindakan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) didakwa memendekkan cuti bersalin kepada pegawai perubatannya dari 90 kepada 60 hari telah diselesaikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, cuti bersalin 90 hari yang dipersetujui sebelum ini telah dikembalikan.

“Kita akui KKM sentiasa berdepan dengan cabaran sumber manusia ini. Namun perkara itu telah pun diselesaikan di mana awalnya dikatakan tidak diberikan.

“Tapi sebenarnya sudah diberikan lanjutan 90 hari itu,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Peluncuran Pengukuhan 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-kanak Malaysia Peringkat Kebangsaan.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan Pejabat Kesihatan Daerah (PJD) Hulu Langat menetapkan cuti bersalin selama 60 hari bagi pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan daerah itu sejak 27 Jun lalu.

Menurut Dr Dzulkefly, sekiranya timbul masalah sama pada masa hadapan, KKM memberi jaminan dengan menempatkan pegawai perubatan (MO) dari daerah yang sama.

“Ke hadapan, kalau berlaku lagi perkara seperti ini, kita akan menempatkan MO di klinik-klinik persekitaran bagi menampung (kekurangan).

“Walaupun dikatakan ada tujuh MO dalam satu masa sekaligus untuk memohon cuti bersalin. Tapi itu tak jadi masalah besar andainya kita boleh menempatkan MO dari kawasan daerah itu mengambil alih tugasan itu.

“Perkara ini malang berlaku macam ini tapi Insya-Allah ke depan nanti kita akan pastikan kita kementerian seharusnya menunjukkan empati kepada kakitangan kami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast