Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar bergambar bersama Datuk Seri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia; Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp); dan Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare di hadapan monumen KPJ Healthcare.

KUALA LUMPUR – KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) hari ini mengumumkan identiti jenama baharunya, “Celebration of Our Care for Life Journey,”, menandakan detik penting dalam sejarah kumpulan ini selama lebih empat dekad.

Dengan penjenamaan baharu ini, KPJ Healthcare semakin memperkukuh usaha untuk mengetengahkan keutamaan pesakit sebagai asas kepada pertumbuhan eksponen dan kelebihan daya saing dalam landskap penjagaan kesihatan yang berkembang secara dinamik.

Inisiatif penjenamaan semula ini merupakan elemen penting dalam perjalanan transformasi Kumpulan yang bermula sejak 2023.

Komitmen ini dibuktikan dalam inisiatif terkini seperti penubuhan Pusat Kecemerlangan di seluruh rangkaian hospitalnya dan memberi tumpuan kepada inovasi melalui Sistem Kesihatan Akademik.

Semua ini bertujuan meningkatkan usaha KPJ Healthcare dalam menawarkan perkhidmatan berasaskan nilai dan memastikan keberhasilan serta pengalaman pesakit pada standard tertinggi, selaras dengan standard emas kepada para pesakit.

KPJ Healthcare berkata, identiti jenama baharu ini menggunakan gaya yang lebih kontemporari.

Tulisan baharu mempunyai sudut bulat dan lengkung yang lembut melambangkan keharmonian dan perlindungan. Ia juga melambangkan perpaduan, komitmen, kasih sayang dan komuniti.

Warna keemasan dipilih sebagai warna jenama utamanya untuk menunjukkan komitmennya terhadap kecemerlangan.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, penjenamaan semula ini bukan hanya pada perubahan logo atau rupa baharu, sebaliknya ia merupakan simbol transformasi dan kemajuan KPJ seiring dengan peningkatan usaha dalam memberikan penjagaan kesihatan yang lebih baik, didorong oleh teknologi serta inovasi.

Penjenamaan semula juga selari dengan penambahbaikan perkhidmatan KPJ Healthcarei kepada semua pihak berkepentingan.

“Walaupun penampilan kami diperbaharui, namun janji ‘Care for Life’ kami tidak akan berubah. Kami komited untuk menjadi rakan kongsi penjagaan kesihatan yang dipercayai pada setiap peringkat umur, meletakkan penanda aras kecemerlangan penjagaan kesihatan dan memperkasa individu dalam penjagaan kesihatan mereka untuk masa hadapan.

“Pelancaran penjenamaan semula hanyalah permulaan kepada transformasi berperingkat KPJ Healthcare yang dijangka selesai menjelang 2026. Dalam beberapa tahun akan datang, hospital dan anak syarikat kumpulan akan turut mencerminkan identiti dan komitmennya yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak tahun 1981, KPJ Healthcare telah mencatatkan pelbagai pencapaian termasuk kumpulan penjagaan kesihatan pertama yang melepasi paras pendapatan RM1 bilion pada tahun 2007.

Ia juga kumpulan penjagaan kesihatan pertama yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dan merupakan yang pertama memperkenalkan REIT Penjagaan Kesihatan Islam di dunia.

KPJ Healthcare juga merupakan organisasi pertama dalam industri penjagaan kesihatan yang menjalankan program pengasingan sisa klinikal yang bakal mengubah landskap penjagaan kesihatan mampan. – MalaysiaGazette