Anggota bomba mengeluarkan pemandu yang tersepit dalam trak dipandunya selepas terlibat kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu maut tersepit selepas terlibat dalam nahas dua kenderaan di Jalan Kota Tinggi-Taman Puteri Wangsa di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan I Sufian Mohamed Lis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.22 pagi sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi kemalangan.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati terdapat kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Perodua Myvi dengan sebuah trak Nissan Navara melibatkan dua mangsa.

“Pemandu Nissan Navara iaitu seorang lelaki, S Siralan, 50, dilaporkan tersepit dalam trak Nissan Navara dipandunya sebelum tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.

Menurut Sufian Mohamed, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemandu Perodua Myvi, S Hemend Raj, 30, pula dilaporkan tidak cedera.

Tambah beliau, operasi terkawal pada pukul 2.36 pagi sebelum ditamatkan pada pukul 5.15 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast