KLUANG – Seorang pesara kerajaan kerugian RM140,000 setelah diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memberitahu,
mangsa seorang lelaki berusia 74 tahun telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar polis dari Jabatan Komersial Johor, pada 24 Jun lalu.
Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram dan memintanya untuk buat bayaran RM2,000 untuk selesaikan kes.
“Mangsa yang tidak tahu cara untuk buat bayaran tersebut kemudian diarahkan untuk menyerahkan kad ATM bank miliknya beserta kata laluan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Katanya, suspek kemudian mengarahkan mangsa membungkus kad ATM bank tersebut dengan kata laluan dan tinggalkannya di taman permainan kanak-kanak berdekatan rumah warga emas berkenaan.
Menurut beliau, mangsa kemudian menerima panggilan daripada nombor telefon yang sama pada 1 Julai lalu mengarahkannya untuk memasukkan RM180,000 ke dalam akaun bank milik warga emas berkenaan untuk tujuan tidak pasti.
“Mangsa juga telah diugut akan ditangkap oleh pihak polis jika tidak mematuhi arahan. Oleh kerana takut, mangsa terus pergi ke bank cawangan Kluang dan memasukkan RM140,000 ke dalam akaun miliknya,” ujar Bahrin.
Beliau berkata, beberapa hari kemudian mangsa membuat semakan akaun bank dan mendapati pengeluaran wang secara tunai melalui mesin ATM daripada akaun miliknya berjumlah RM140,000 di lokasi yang tidak pasti.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang katanya, membuka satu kertas siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda.
“Pihak polis menyeru orang awam agar lebih berhati-hati terutama apabila menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali atau nombor telefon dari luar negara,” katanya.
Tambahnya, orang awam juga dinasihatkan supaya mengikuti laman sosial polis seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi membuka minda dan pengetahuan tentang modus operandi terbaharu jenayah kormesial.- MalaysiaGazette