KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju yang membina perumahan baharu diwajibkan untuk membina Perumahan Madani untuk golongan B40 dan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas dalam syarat tersebut kerana kerajaan mewarisi kira-kira 60,000 permohonan untuk mendapatkan rumah bagi penggal ini.
“Kita warisi ada 60,000 permohonan menunggu untuk dapatkan rumah di bandar raya. Kemudian kita siap selesaikan 60,000 (rumah) dalam satu penggal? Tak boleh.
“…Setiap perumahan baharu, saya arahkan Jabatan Persekutuan dan Dewan Bandaraya buat perumahan baharu.
“Dia ada tanah kita luluskan. Kita boleh beri kelonggaran, kita boleh percepatkan. Tapi syaratnya mesti ada satu dua blok rumah madani untuk rakyat manfaatkan,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI) di Bandar Sri Permaisuri hari ini.
Selain Kor Ming turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Jadi, saya berterima kasih kepada Nga Kor Ming kerana tumpu perumahan biasa tapi perumahan Madani bukan sahaja penjawat awam tapi kelompok M40, B40.
“Orang-rang kaya dia buatlah rumah banyak macam mana pun, berapa harga berpuluh juta saya tidak peduli. Kita ada tanah. Kita beri pada dia. Tidak ada masalah.
“Tetapi rakyat yang lain harus dibantu itu sebab mengapa jentera kerajaan harus dikerahkan supaya dapat menyelesaikan masalah perumahan yang sangat rumit,” tegas Anwar.
Seramai 843 penjawat awam daripada pelbagai skim dan gred perkhidmatan telah ditawarkan untuk memiliki unit perumahan di Piksel City Sentral, Nikka City Sentral dan Amansuri.
Dalam majlis tersebut Perdana Menteri telah menyempurnakan
penyerahan surat tawaran dan kunci rumah kepada 10 orang pembeli PPAM.
Program PPAM MADANI merupakan perumahan mampu milik khas untuk penjawat awam terutamanya berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah yang berkualiti di lokasi yang strategik khususnya di bandar utama dengan harga yang lebih rendah dari pasaran.
Kerajaan telah menyasarkan penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik termasuk penyediaan 28,000 perumahan khusus untuk penjawat awam dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM249 juta bagi program PPAM di seluruh negara.
Sehingga kini, sebanyak 28 projek baharu PPAM MADANI melibatkan 3,838 buah rumah yang telah diluluskan di pelbagai lokasi di seluruh negara dengan jumlah insentif MADANI PPAM (iM-PPAM) berjumlah RM234 juta.
Pada tahun disasarkan penyediaan kira-kira 4,000 rumah PPAM lagi di seluruh negara.
Melalui inisiatif itu seramai 35,322 penjawat awam telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (PJB) rumah PPAM dan daripada jumlah tersebut seramai 94% iaitu 33,122 orang merupakan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM6,000 sebulan.
Sehingga 31 Julai lalu secara keseluruhan sebanyak 33,133 unit
rumah PPAM telah berjaya disiapkan di seluruh negara.
Permintaan untuk membeli kediaman di sekitar Kuala Lumpur adalah sangat tinggi dalam kalangan penjawat awam iaitu sebanyak 55,014 berbanding hanya 7,038 unit rumah PPAM yang mampu ditawarkan.- MalaysiaGazette