Bagi UMNO, calon yang disebut-sebut bakal diketengahkan sebagai calon adalah Md Jais, 57, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang.

BELUM pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota – bahang politik di Kluang naik tiba-tiba, suhunya seperti sukar disukat selepas Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kluang membuat kenyataan di Johor Bahru semalam.

Riuh rendah jadinya terutama di Johor apabila Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuha Mohd Zain bercakap secara lantang mendesak calon parti itu dipilih mewakili Kerajaan Perpaduan dalam PRK tersebut yang diramal pada September ini.

“Dengan analisis dibuat peringkat kawasan menunjukkan kami boleh menang selesa. Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, kita yakin boleh menang,” katanya yang menampakkan rebel with a cause untuk menguasai demografi politik DUN Mahkota di bawah Parlimen Kluang yang mempunyai 65,074 pengundi.

Beliau berkata demikian dengan yakin, tegas dan berani walaupun hasrat itu tidak dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan Pusat namun tidak sukar untuk menelaah agenda tersirat dan berselirat di sebalik desakan berkenaan.

Mohd Zuha mendakwa hanya akan berkompromi dan menapak ke belakang dengan pendiriannya sekira UMNO Johor ikhlas dalam hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan tidak menyisihkan wakil Amanah dan PH dalam pentadbiran kerajaan negeri. Ini agak sukar direalisasi.

Konsistensi Mohd Zuha mahukan calon Amanah duduk di kerusi DUN Mahkota itu melonjakkan bacaan politik di DUN Mahkota malah hampir mengelegak apabila semalam beberapa pemimpin muda UMNO, Amanah dan DAP menyanggah serta memberikan sisi pandang masing-masing.

Apatah lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu dilaporkan berkata, BN akan bersiap siaga selepas PRK Nenggiri untuk hadapi PRK Mahkota sekali gus membayangkan akan meletak calon UMNO di kerusi tersebut.

Ini menjadikan paska moden politik Johor dalam konteks hubungan antara dua gabungan politik tersebut semakin kompleks dengan estimasi dan prediksi berkenaan jajaran politik secara kolektif itu menjadi persoalan sama ada akan diteruskan dalam PRN Johor nanti.

Keadaan menjadi reda sedikit apabila Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, parti penyandang kerusi yang dimenangi pada PRU dan PRN sebelum ini akan bertanding dalam PRK yang diadakan.

Menurutnya, DAP Johor berpegang kepada amalan lazim PH, penentuan dan pelantikan calon serta pembahagian kerusi ditentukan pucuk pimpinan parti komponen secara musyawarah tanpa perlu dibincangkan dalam media.

Perebutan kerusi DUN tersebut agak mengejutkan dan tidak wajar dibincangkan dalam keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain baru meninggal dunia tidak sampai seminggu.

Sebelum kenyataan Mohd Zuha itu lagi, hubungan antara BN dan PH terutama DAP di Kluang sudah tegang. Ini berikutan usul diketengahkan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang pada 13 Julai lalu yang mahukan UMNO memutuskan hubungan dengan PH terutama DAP.

UMNO Bahagian Kluang menentang kerjasama itu yang disifatkan pada dasarnya tidak banyak memberikan manfaat kepada UMNO serta BN malah hubungan tersebut dilihat merugikan UMNO yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

Menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, calon Amanah yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan meraih majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon Pas, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.

Sementara dalam PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, calon BN, Sharifah Azizah menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman (Amanah) yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Kemenangan Amanah pada PRU-14 itu menjadi asas kukuh untuk parti berkenaan kembali meletakkan calon walaupun situasi amat berbeza pada PRU-14 dan PRN Johor.

Ini kerana Amanah menang semasa PRU-14 kerana peratus yang keluar mengundi tinggi sekitar 80 peratus manakala kalah pada PRN Johor pula peratusan keluar mengundi rendah sekitar 50 peratus sahaja.

Persoalan kini terarah siapa calon akan diletakkan PH dan BN yang menjadi tajuk utama persoalan sembang kedai kopi di Kluang ketika ini.

Sukar untuk membandingkan atau memperkatakan calon yang layak bagi menggantikan tempat Allahyarhamah Sharifah Azizah iaitu seorang yang sangat baik, disenangi kawan dan lawan serta berpengaruh kerana sudah lebih 40 tahun dalam politik.

Bagi UMNO, calon yang disebut-sebut bakal diketengahkan sebagai calon adalah Md Jais, 57, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang dikatakan bakal kembali semula untuk menerajui kekosongan kerusi DUN Mahkota.

Md Jais pernah menjadi ADUN Mahkota bagi penggal PRU-12 dan PRU-13 sebelum kalah dalam PRU-14 selain pernah memegang jawatan penting dalam parti itu di peringkat negeri serta pernah menjadi Exco Kerajaan Johor.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor itu dilihat sebagai peluang Kerajaan Perpaduan mengukuhkan hegemoni politiknya di Johor terutama di DUN Mahkota namun diakui akan berhempas pulas apabila memasuki ‘gelanggang’ PRK DUN Mahkota nanti, bergantung sama satu lawan satu atau melibatkan berapa penjuru.

Nama lain yang berkemungkinan menjadi taruhan BN dan PH sekiranya calon Amanah tidak dipilih adalah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin, 47, yang sudah berkecimpung dalam arena politik ketika berusia 24 tahun pada 2002.

Ini kerana, Zainani antara individu yang mempunyai kriteria calon berkebolehan untuk diketengahkan kerana selain tergolong dalam golongan muda namun turut mempunyai kriteria untuk menerajui kekosongan kerusi DUN Mahkota.

Zainani

Zainani secara amnya sudah mempunyai pengikut tersendiri apabila pernah menjawat sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Kluang pada 2009 hingga 2013 sebelum menjadi Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang pada 2023.

Sementara bagi PN pula, tiga nama disebut-sebut iaitu Yang Dipertua Pas Kawasan Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas kawasan selain Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang, Mohamad Nor Linggan dan Naib Ketua Bersatu Bahagian Kluang, Dzulkarnain Alias.

Mengikut rekod, Khairul Faizi pernah bertanding di DUN Mahkota pada PRU-12 dan PRU-13 melawan Md Jais namun tewas dalam kedua-dua pertembungan tersebut.

Khairul Faizi

Pada PRU-15, Dzulkarnain bertanding di kerusi Parlimen Kluang manakala Mohamad di DUN Mahkota tetapi kedua-duanya kalah.

Melihat keputusan diperoleh kedua-dua calon berkenaan, Dzulkarnain berpotensi besar dicalonkan dalam PRK DUN Mahkota kerana sebelum ini memperoleh 22,021 undi semasa menjadi calon Parlimen Kluang pada PRU-15.

Walaupun beliau kalah kepada penyandang kerusi Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan calon MCA, Gan Ping Siu tetapi mendapat undi yang agak tinggi.

Sementara dalam PRN Johor pada 2022, Mohamad memperoleh 7,614 undi namun kalah kepada Sharifah Azizah yang sebelum ini pernah menjadi ADUN Penawar.

Difahamkan calon yang akan mewakili PN untuk bertanding dalam PRK DUN Mahkota akan diputuskan dalam mesyuarat PN Johor yang akan diadakan minggu ini.

Namun tidak mustahil akan berlaku pertembungan antara calon UMNO, Amanah dan Bersatu atau calon Bebas dalam PRK DUN Mahkota nanti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast