Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Satu siasatan akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan sebuah portal yang menyiarkan berita mengenai rombakan besar-besaran dalam kepimpinan tertinggi polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis mengenai dakwaan portal berita berkenaan lebih kurang 4.59 petang hari tadi.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian atau kemudahan rangkaian yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 dan penjara setahun jika disabitkan kesalahan.

Jika disabitkan kesalahan di Bawah Seksyen 505 (b), boleh dijatuhkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu berhubung penyebaran kenyataan tidak sahih di laman sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan dakwaan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi PDRM adalah tidak benar.

Beliau menegaskan, PDRM tidak ada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan.

Dalam laporan tersebut, portal berita itu memetik sumber melaporkan, antara pegawai yang terlibat dalam rombakan itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Portal berita juga memetik kedua-dua pegawai kanan itu telah dikaitkan dengan pertukaran ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Ketua Pengarah.- MalaysiaGazette

Dakwaan rombakan kepimpinan tertinggi PDRM palsu – KPN