Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani di PPAM Piksel Permaisuri 10, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 6 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan kaedah kasar kenaikan gaji penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri berkata, pengumuman lengkap Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dibuat pada Oktober ini semasa pembentangan Belanjawan 2024.

“Dari segi kerajaan kita beri pertimbangan. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara menyebut tentang penyelarasan gaji memang betul.

“Dalam beberapa minggu ini saya akan mengumumkan kaedah kasar yang akan membuktikan dalam sejarah Malaysia, walaupun ada suara pembangkang yang memang tak pernah erti syukur, tak pernah nak terima kenyataan.

“Tapi percayalah bila saya umumkan nanti sebahagian bulan Ogos ini dan kemudian lengkapnya seperti mana saya janjikan pada Oktober, Belanjawan Negara dilaksanakan melalui 1 Disember,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI) di Bandar Sri Permaisuri, di sini, hari ini.

Anwar berkata, terdapat tiga sebab gaji kakitangan awam perlu dinaikkan yang menyaksikan kenaikan tertinggi sepanjang pentadbiran negara sejak merdeka.

“Pertama negara membangun tetapi selama 12 tahun tidak ada kajian menyeluruh kenaikan gaji.

“Kedua kerana mengiktiraf peranan mereka selama ini. Kerajaan silih berganti. Perdana Menteri silih berganti. Jadi penjawat awam mempunyai tugas secara profesional melaksanakan amanah ini.

“Ketiga yang penting dengan penyelarasan gaji ini kita mahu supaya khidmat mereka kepada rakyat jauh lebih baik setimpal dengan gaji yang diberikan itu. Ini insya-Allah kita dapat lakukan,” kata Anwar.

Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata, perincian mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Anwar semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.

Penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji yang boleh dikira sendiri oleh mereka.

“Ada kalkulator (untuk kira) berapa gaji kita. Pada 1 Dis akan berlaku kenaikan gaji dan hujung bulan (Disember) penjawat awam akan terima kadar gaji yang baharu,” katanya

Sebelum ini, menerusi beberapa ucapan Perdana Menteri memberi bayangan peratusan kenaikan gaji adalah sesuai dengan bebanan tugas pegawai awam dan telah mengambil kira kos sara hidup semasa. – Malaysia Gazette