Empat lelaki yang dituduh di Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat, hari ini, atas kesalahan perbuatan khianat.

BATU PAHAT – Tiga lelaki termasuk dua beradik dijatuhi hukuman penjara 12 hingga 18 bulan manakala seorang lagi lelaki dikenakan denda RM2,500 hingga RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini atas sembilan pertuduhan khianat dan bersubahat.

Tertuduh, Teng Kui Seng, 40, Too Kok Loong, 38, Too Kok Choi, 35 dan Muhammad Daniel Chia Abdullah, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Kui Seng, Kok Long dan Kok Choi melakukan kesalahan khianat itu dengan menyimbah cat ke atas kereta serta pagar rumah dan premis kedai sehingga menyebabkan kerugian RM2,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 KK.

Sementara itu, Muhammad Daniel dituduh kerana bersubahat dengan Kui Seng, Kok Long dan Kok Choi melakukan kesalahan tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama-sama Seksyen 427 KK.

Semua kesalahan dilakukan di Taman Setia Jaya, Jalan Mutiara Perdana Tujuh, Taman Mutiara Perdanan, Jalan Orchard Height Satu, Taman Orchard Height, Kampung Parit Sempadan Laut, Parit Raja, Jalan Nagaria Utama, Taman Nagaria Dua dan Senggarang bermula 21 April sehingga 27 Jun lalu.

Di mahkamah yang sama, Kok Long dan Muhammad Daniel turut dituduh menggunakan dadah Methaphetamine pada 2 Julai lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen serta Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid.

Muhammad Daniel Chia diwakili peguam Tan Song Yan manakala tertuduh lain diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mahkamah menetapkan 30 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan patologi.- MalaysiaGazette