SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah ketika bertitah pada Persidangan Karamah Isaniah (Human Dignity) Rantau Asia Tenggara 2024 di Pusat Persidangan ACE, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebak ketika berkongsi kisah seorang sami, Uzin Pein yang memberi perlindungan kepada sekumpulan umat Islam yang cuba dibunuh penganut Buddha.

Kisah yang dikongsikan baginda itu berlaku ketika rusuhan agama di Mandalay, Myanmar pada 2013 yang memaksa sekumpulan umat Islam mencari perlindungan di kuil Meiktila City yang dijaga sami Uzin Pein.

Titah baginda, ketika perusuh Buddha menuntut Uzin Pein menyerahkan umat Islam yang berlindung di kuil itu untuk dibunuh, sami berkenaan enggan berbuat demikian dan menegaskan pengikutnya itu perlu membunuhnya terlebih dahulu.

Baginda bertitah, apa yang ditunjukkan oleh Uzin Pein itu adalah cerminan sebenar kepada nilai karamah insaniah yang mengangkat maruah dan harga diri (human dignity) seseorang tanpa mengira sesiapa pun atau di mana pun mereka berada.

“Kita mungkin tidak mempunyai keberanian luar biasa seperti Uzin Pein namun kita boleh mencontohi beliau dalam melihat dan menilai aspek kemanusiaan sebagai keutamaan, berbanding label (pegangan) keagamaan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Persidangan Karamah Isaniah (Human Dignity) Rantau Asia Tenggara 2024 di Pusat Persidangan ACE di sini hari ini.

Persidangan yang dihadiri ketua-ketua agama termasuk mufti itu dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Brigham Young University dan Religious Freedom Institute (RFI).

Terdahulu, Sultan Nazrin bertitah, masih ada rakyat negara ini serta di seluruh dunia yang tidak berpegang kepada semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Titah baginda, sikap ketidakpercayaan dan tiada semangat toleransi itu menjadi pandemik yang merebak seperti virus dalam kalangan individu, komuniti dan di seluruh negara.

Kerana itu, baginda bertitah, persidangan yang dianjurkan hari ini sangat penting dalam menentang kebencian dan menyebar luas semangat kebersamaan dan kecintaan sesama manusia.

“Ketika ada manusia yang dianggap tidak bernilai dan tidak dihargai kerana kepercayaan serta warna kulit mereka, kita perlu menekankan yang mana setiap manusia mempunyai nilai (maruah dan harga diri) yang sama,” titah baginda.

Dalam masa sama, Sultan Nazrin turut berharap persidangan hari ini dapat menangani retorik perpecahan dan sikap tidak bertoleransi yang dapat ditonjolkan menerusi kisah-kisah sebenar yang berlaku dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini bagi menunjukkan bahawa lebih banyak elemen yang boleh menyatukan manusia berbanding yang membawa kepada perpecahan, sekali gus mengangkat kepentingan harga diri dan maruah serta nilai kemanusiaan seseorang,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast