KUALA LUMPUR – Tiga kelab Liga Super didapati mempunyai tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS)) bagi bulan Mei dan Jun tahun ini.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataannya berkata, Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) telah melakukan pemeriksaan terhadap laporan kewangan yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super sebelum tarikh akhir 16 Julai 2024.

Menurutnya, pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa pertama dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.

Berdasarkan pemeriksaan dokumen-dokumen laporan kewangan itu, FFP FIB mendapati lapan (kelab telah berjaya menyerahkan laporan kewangan pertama FFP dengan lengkap tanpa sebarang tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS Perkeso setakat Jun 2024.

“Bagaimanapun terdapat dua kelab yang tidak menghantar laporan kewangan pertama FFP pada tarikh akhir 16 Julai 2024 namun berjaya menyelesaikannya selepas diberikan lanjutan masa sehingga 31 Julai 2024 oleh pihak FIB FFP.

“Daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan kesemua kelab, didapati tiga kelab mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS bagi bulan Mei dan Jun 2024 manakala dua kelab lagi perlu menghantar dokumen kewangan tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua kelab terbabit diarahkan oleh FFP FIB untuk menyelesaikan tunggakan dan menyerahkan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 15 Ogos 2024.

Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelab tersebut dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang. – MalaysiaGazette