Ayub Yaakob

KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyifatkan tindakan kumpulan pengganas menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperluaskan penyebaran ideologi dan propaganda serta menarik penyertaan anggota baharu sebagai keterlaluan dan melampau.

Justeru itu, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob menggesa kerajaan supaya mewartakan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber dan dikuatkuasakan secepat mungkin bagi mengekang penyebaran ideologi radikal oleh kelompok subversif yang boleh mengancam keselamatan, siber dan fizikal negara.

“MCPF juga menyokong penuh inisiatif yang sedang digerakkan Kementerian Digital dalam membangunkan penambahbaikan garis panduan Etika dan Tadbir Urus AI (AIGE) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi libat urus dengan badan antarabangsa termasuk Forum Ekonomi Dunia (WEF).

“MCPF juga berpandangan sudah tiba masa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang dikuatkuasakan ketika ini dikemaskini dan ditambah baik selari dengan peredaran zaman serta kemajuan teknologi semasa bagi mengekang tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah siber,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayub merujuk kepada laporan media bahawa Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) mendedahkan kumpulan pengganas antarabangsa menggunakan teknologi AI untuk menyebarkan propaganda dan ideologi mereka.

Dalam pada itu, MCPF turut berpandangan selain pindaan akta dan mempercepatkan penguatkuasaan undang-undang baharu, anggota keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dipersiapkan dari segi kemahiran dan peralatan moden berasaskan AI dalam usaha memerangi jenayah digital ini selari dengan kemajuan teknologi semasa.

“Jika dahulu teknologi AI belum begitu popular, tetapi sekarang ia digunakan secara meluas oleh banyak pihak.

“Oleh itu, dasar, infrastruktur (hardware) dan infostruktur (undang-undang) perlu dikemaskini serta selari dengan kemajuan AI ketika ini.

“MCPF melihat usaha memerangi dan mengawal kes ini bukan hanya terletak pada bahu kerajaan dan anggota keselamatan negara semata-mata tetapi semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, institusi perbankan dan orang awam perlu memaikan peranan masing-masing,” katanya.

Sebelum ini kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pewartaan tarikh kuat kuasa Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 dijadual dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.

Pada 27 Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 bagi meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan Dewan Negara pada 3 April. – MalaysiaGazette