KUALA LUMPUR – Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa mendakwa bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li tidak `all out’ berkempen pada PRK itu.
Ini kerana, dakwa Annuar, calon UMNO yang bertanding iaitu Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani bukan pilihan Ku Li, sebaliknya merupakan pilihan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, dakwanya lagi, orang-orang kuat Ku Li di Gua Musang seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan beberapa pemimpin UMNO lain kelihatan bersahaja sepanjang tempoh berkempen ketika ini.
“Yang pulun habis-habisan adalah `penjilat’ Zahid seperti Jazlan Yaakob, Fatmi Che Salleh dan Zawawi Pasir Puteh,” tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam masa sama, Annuar turut menepis ramalan pengaruh Ku Li yang juga Pengarah PRK DUN Nenggiri bagi BN itu akan memberi kelebihan kepada UMNO.
Meskipun mengakui Gua Musang merupakan kubu kuat UMNO, namun kata beliau, sejarah menunjukkan ahli dan penyokong UMNO di kawasan itu tidak fanatik terhadap parti tersebut.
Jelasnya, ahli UMNO pernah meninggalkan parti itu dan menyokong parti Semangat 46 pada awal 90-an, malah turut menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Ini menjadi bukti bahawa rakyat Nenggiri mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, meskipun mengakui pengaruh Ku Li tetap ada, namun dakwa Annuar, orang-orang Melayu memahami Ahmad Zahid hanya memperalatkan Ku Li pada PKR Nenggiri untuk mengelak daripada kekalahan.
“Ku Li tentu tidak lupa bagaimana Zahid dan `troopersnya’ menghina Ku Li semasa Ku Li bertanding jawatan Presiden UMNO melawan Zahid dan KJ (Khairy Jamaluddin).
“Ku Li juga pasti tidak lupa bagaimana Ku Li dipermainkan oleh Zahid Hamidi ketika kononnya Ku Li ditawar jadi calon Perdana Menteri tetapi Zahid Hamidi sebenarnya merancang untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tulisnya.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan bahawa pengundi Nenggiri tidak lagi keliru dengan mengundi BN akan memberi kelebihan kepada DAP, Annuar menyifatkan pandangan itu sebagai meleset.
Ini kerana, ujar beliau, orang Melayu di seluruh negara termasuk di Nenggiri tidak terkecuali yang mana majoritinya menolak kerjasama politik antara UMNO dan DAP selain menolak kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Mereka mahu kekal dengan semangat dan perjuangan UMNO yang original (asal) dan menolak UMNODAP.
“Justeru, trend dan gelombang tolak UMDAP dan (Ahmad) Zahid tetap kuat,” katanya. – MalaysiaGazette
Memeranjatkan!!! Anuar Musa masuk UMNO?