BATU PAHAT – Polis menahan empat lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing dengan sitaan serta rampasan hampir RM1 juta selepas menyerbu sebuah apartmen di bandar ini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, serbuan tersebut dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Batu Pahat pada pukul 7 malam.
“Dalam serbuan tersebut kita menahan empat lelaki tempatan berusia 21 hingga 38 tahun serta tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 25 tahun bersama-sama sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM895,662.
“Dadah yang kita rampas melibatkan 5219.71 gram serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM872,000, 23.17 gram pil ekstasi (RM3,250), 15.41 pil erimin 5 (RM1,120) dan ketamin 96.46 gram (RM19,292).
“Jumlah rampasan dadah ini bernilai RM895,662 yang boleh digunakan seramai 19,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.
Kata beliau, sitaan pula melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bernilai RM84,800, sebuah motosikal (RM5,550) dan wang tunai (RM2,380) dengan keseluruhannya berjumlah RM92,730.
Shahrulanuar Mushaddat memberitahu, nilai rampasan dadah dan sitaan tersebut berjumlah RM988,392.
Ujarnya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Ogos ini untuk siasatan bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau menambah, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.- MalaysiaGazette