ROMPIN – Seorang pemandu treler yang merempuh sebuah rumah dan mengakibatkan dua kematian dihadapkan di Mahkamah Majistret Rompin di sini hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Fadzil Zakaria, 40, didakwa mengambil dadah Methamphetamine pada 3 Ogos 2024, jam 4.15 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.
Fadzil didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh di hukum di bawah Seksyen 15 (1) dengan di baca bersama Seksyen 38B Akta yang sama.
Dia boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun, dan hendaklah menjalani perintah pengawasan selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula Fadzil didakwa memandu di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Nurnazzatul Fashihah Nasruddin dan Muhammad Waldan Faris Nasruddin di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan pada waktu dan tarikh yang sama.
Beliau dituduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000.
Muhammad Fadzli yang memakai berpelitup muka, memakai baju-T hitam dan berseluar kelabu mengangguk faham setelah pertuduhan habis dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh kemudiannya membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asyikin Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Biro Bantuan Guaman (YBGK) Ahmad Daniel Roslan.
Bagi pertuduhan pertama pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM3,000 dan RM12,000 atas kesalahan kedua.
Pendakwaan juga memohon agar lesen tertuduh ditarik, digantung sehingga perbicaraan selesai.
Manakala peguam bela memohon mengurangkan wang jaminan ekoran tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga yang berpendapatan RM2,300, mempunyai seorang isteri dan anak masih kecil.
“Tertuduh bersedia dengan syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah dan tiada sebab untuk tertuduh tidak hadir ke perbicaraan.
“Kes ini mendapat tumpuan awam dan tidak menjadi faktor mahkamah dan memohon mengurang RM5,000 bagi pertuduhan kedua” tambah Ahmad Daniel.
Hakim kemudian memutuskan wang jaminan sebanyak RM7,000 iaitu RM1,300 bagi petuduhan pertama serta RM5,700 lagi bagi pertuduhan kedua serta menggantung lesen memandu.
Mahkamah memutuskan sebutan kes pada 7 Oktober dan 26 Ogos hadapan bagi pertuduhan pertama dan kedua.
Terdahulu reman ke atas pemandu itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun selama empat hari bermula 4 Ogos lalu berakhir pada hari ini.
Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh rumah yang berada di sebelah kanan jalan.
Nahas itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, maut di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Waldan Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldan Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan ketika nahas mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kakak, adik lelaki bongsu bercuti bersama sebelum dirempuh treler
Al-Sultan Abdullah ziarah keluarga rumah dirempuh treler
Pemandu treler rempuh rumah direman empat hari
Wanita maut lori treler rempuh rumah
Treler rempuh rumah, seorang lagi meninggal dunia
Sultan Pahang akan kurnia rumah baru untuk keluarga mangsa nahas treler