Yahya Sinwar

LUBNAN – Pasukan penentang Israel di Lubnan, Hezbollah meraikan pelantikan Yahya Sinwar untuk mengetuai Hamas selepas pembunuhan ke atas Ismail Haniyeh minggu lalu.

Pergerakan itu mengucapkan tahniah kepada Sinwar selepas dipilih sebulat suara sebagai ketua biro politik Hamas.

Katanya, pelantikan Sinwar jelas menunjukkan Israel gagal mencapai objektif bagi menghapuskan beliau selepas serangan ke atas Gaza lebih 10 bulan.

Pemilihan Sinwar juga merupakan satu mesej kepada Amerika Syarikat bahawa Hamas semakin bersatu di sebalik pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza serta serangan ke atas Haniyeh.

“Pemilihan saudara Yahya Sinwar dari tengah-tengah Semenanjung Gaza yang terkepung, yang hadir bersama rakan seperjuangannya di parit hadapan perlawanan dan dalam kalangan rakyatnya di bawah runtuhan, kepungan, pembunuhan, dan kelaparan, adalah pengesahan bahawa maltamat musuh membunuh pemimpin dan pegawai telah gagal mencapai objektif mereka.

“Bendera dikibarkan dari tangan ke tangan, dibasahi darah para syuhada, dan ia adalah mesej yang kuat kepada musuh zionis dan di belakangnya Amerika Syarikat dan sekutunya bahawa gerakan Hamas bersatu dalam keputusannya, tegas dalam prinsipnya, teguh dalam pilihan utamanya, bertekad untuk meneruskan, bersama semua puak Palestin, di jalan penentangan dan jihad tidak kira pengorbanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemilihan tersebut meningkatkan kepercayaan dan keazaman negara dan rakyat rantau Timur Tengah untuk menyatukan usaha dan desakan meneruskan jihad dan penentangan sehingga pembebasan Palestin sepenuhnya.

Hezbollah menjadi sekutu kuat Hamas dalam melancarkan serangan ke atas Israel di bahagian utara negara itu. Serangan itu menyaksikan berpuluh anggota tentera Israel terbunuh dan cedera.

Hamas mengumumkan pelantikan Sinwar hari ini selepas Haniyeh syahid dalam serangan yang didalangi Israel di Iran minggu lalu.-Agensi