Tertuduh yang berusia 12 tahun mengaku tidak bersalah memandu kereta Perodua di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.

SEPANG – Seorang kanak-kanak yang videonya tular kerana memandu kereta Perodua Viva di Taman Putra Impiana, Puchong pada 28 Julai lalu didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh yang berusia 12 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Mengikut pertuduhan, pada 29 Julai 2024 kira-kira jam 6.30 petang, tertuduh di pejabat Bahagian Siasatan dan Lenguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah didapati memandu motokar jenis Perodua Viva di atas jalan, ketika itu tertuduh berusia 12 tahun 3 bulan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam, Nabila Rosli merayu agar jaminan dikurangkan kerana bapa kepada anak guamnya mempunyai kes di bawah Akta Kanak-kanak 2001 di Mahkamah Sesyen yang mengenakan jaminan RM8,000.

Majistret Muhammad Bukhori bagaimanapun membenarkan kanak-kanak itu dijamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 September ini sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast