Mahasiswa UPSI dan UiTM bergambar kenangan.

BAGAN DATUK – Kampung Sungai Betul, di sini telah dipilih menjadi Kampung Angkat Madani (KAM) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Malaysia baru-baru ini.

Kewujudan KAM adalah bertujuan untuk menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.

Selain itu, program-program pemerkasaan modal insan juga dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seri Iskandar, Perak iaitu Program Keceriaan Kampung pada 6 dan 7 Ogos 2024 bertempat di Sekolah Kebangsaan Sungai Betul.

Program Keceriaan KAM ini meliputi program anak angkat, gotong-royong, lukisan mural sekolah, menaiktaraf kemudahan awam dan pemasangan tanda nama Kampung Sungai Betul.

Program ini dilaksanakan untuk membina perhubungan dan kerjasama yang erat antara agensi kerajaan, komuniti kampung, dan agensi setempat.

Program ini melibatkan hampir 150 orang pelajar dan kakitangan UPSI dan UiTM beserta 23 keluarga angkat mampu mewujudkan keharmonian dan persekitaran kampung yang kondusif, dengan fokus kepada peningkatan kualiti hidup penduduk serta mempromosikan suasana yang aman dan harmonis dalam masyarakat.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Komuniti Desa, KKDW, Che Mohd Zulkifli Ismail dalam ucapannya menekankan setiap kementerian akan memilih sebuah kampung yang bertuah sebagai kampung angkat madani.

Beliau menerangkan pelbagai kepakaran di bawah KKDW akan digembleng untuk menyumbang kepada kemajuan desa. Beliau juga menyampaikan hasrat kerajaan yang selari dengan ucapan perdana menteri, iaitu setiap kampung angkat madani akan diperuntukkan dana sebanyak RM 2.5 juta untuk mewujudkan kampung yang lestari dan mampu memperoleh pendapatan sendiri.

Prof. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (HEP&A) pula berkata, UPSI memainkan peranan penting dalam program ini dengan menyumbang kepada pembersihan persekitaran Masjid Ismailiah dan Sekolah Agama Rakyat.

“Aktiviti ini tidak hanya memperbaiki kebersihan tetapi juga memastikan suasana pembelajaran di sekolah menjadi lebih kondusif.

“Selain itu, UPSI turut terlibat dalam pembersihan pantai Beting Beras Basah, menjadikannya lebih menarik sebagai destinasi pelancongan,” ujarnya.

UPSI juga memasang tanda pengenalan kampung dan membersihkan rumah warga emas uzur ujar beliau.

Seorang peserta dari UPSI, Nik Muhammad Izzat berharap agar program ini dapat memberi impak kepada penduduk Kampung Sungai Betul.

“Saya bersama 37 orang rakan pelajar UPSI akan berusaha untuk melakukan aktiviti kesukarelawan yang dapat meninggalkan impak kepada Masyarakat di sini,” katanya. – MalaysiaGazette