KAJANG – Kolej Universiti Inovatif menerusi Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) menjadi pusat pengajian pertama di Malaysia yang menawarkan latihan menembak dalam Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api sejak 2023.

Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api merupakan satu silibus dalam pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda Penguatkuasaan Undang-Undang di LPU.

Ketua Lesen Pasukan dan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Ibu Pejabat  Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Datuk Dzulkhairi Mukthar menyifatkan inisiatif fakulti di kolej tersebut sebagai usaha baik.

“Saya meneliti usaha pihak fakulti dalam memberikan latihan kecergasan jasmani, ujian psikologi dan latihan kawad sebagai satu usaha pihak fakulti dalam memperkukuhkan program pendidikan berasaskan latihan amali demi melahirkan kadetelit program penguatkuasaan undang-undang.

“Inisiatif pihak kolej dalam memperkenalkan latihan berasaskan program penguatkuasaan undang-undang iaitu dengan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api merupakan usaha yang pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan kursus tersebut di Kelab Menembak Bandar Kajang hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Kolej Universiti Inovatif, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak,

Dalam masa yang sama kolej tersebut turut memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan kepujian).

Tambah Dzulkhairi, kursus tersebut dalam masa yang sama dapat memupuk disiplin dalam penggunaan senjata api, selaras dengan kawalan perundangan di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Ini langkah yang baik, asas kena kukuh dengan ada program dan kursus sebegini graduan boleh jadi lebih berdaya saing,” jelasnya. – MalaysiaGazette