KUALA LUMPUR – Kos pembiayaan untuk delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan tetamu mereka ke Sukan Olimpik di Paris tidak melibatkan dana kerajaan.
Sebaliknya, Cawangan Komunikasi Korporat, Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, kos itu adalah di bawah tanggungan MOM dan bagi tetamu mereka dibayar oleh pihak-pihak berkenaan.
“Majlis Sukan Negara (MSN) hanya bertanggungjawab membiayai kos perbelanjaan membabitkan atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan operasi Malaysia House untuk temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kontroversi tercetus selepas pelbagai pihak mempersoalkan kehadiran keluarga Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria di Sukan Olimpik, Paris yang didakwa mengambil kesempatan untuk bercuti menggunakan peruntukan daripada kerajaan.
Bagaimanapun, Norza dilaporkan berkata, beliau mempunyai kuota khas untuk membawa tetamu bersamanya ke Paris dan menggunakan wangnya sendiri untuk membiayai perbelanjaan keluarganya.
Tidak berakhir di situ, pelbagai pihak mempersoalkan pula mengapa kuota khas kepada Norza itu tidak diberikan kepada atlet untuk membawa jurulatih dengan memetik situasi yang dihadapi oleh pemain badminton negara Goh Jin Wei dan Lee Zi Jia.
Bagaimapaun, MOM dilaporkan berkata, kuota itu diperuntukkan kepada pucuk pimpinan organisasi, majlis atau jawatankuasa Olimpik di negara masing-masing.
Jelas MOM, ia termasuk mereka yang memegang jawatan seperti Presiden dan Setiausaha Agung, selain Ketua Negara, dan Menteri Sukan.
Sehubungan itu, MOM berasakan sepatutnya tiada isu berbangkit berhubung perkara tersebut kerana kuota berkenaan sememangnya sudah ada dalam peruntukan kepada setiap negara. – MalaysiaGazette