Hussein Omar Khan

PETALING JAYA – Polis masih belum menerima laporan analisis lengkap berhubung punca kematian Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang mati dibunuh, bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sedang menunggu pihak hospital untuk mengeluarkan laporan lengkap analisis bedah siasat itu.

“Untuk laporan bedah siasat (Nur Farah Kartini) yang lengkap masih belum diterima lagi. Kita masih menunggu daripada pihak hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis (IPD petaling Jaya) di Pondok Polis Ara Damansara, di sini, hari ini.

Pada 16 Julai lalu, proses bedah siasat ke atas Nur Farah Kartini dilakukan di Hospital Sungai Buloh.

Untuk rekod, mayat graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang di Hulu Selangor, pada 15 Julai lalu.

Kemudian pada 26 Julai lalu, anggota polis Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selepas didakwa, tertuduh dilaporkan dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor hingga menunggu hari sebutan semula kes yang ditetapkan pada 30 Ogos ini di Mahkamah Kuala Kubu Bharu.

Sebelum ini, Hussein memaklumkan, suspek berusia 26 tahun yang berasal dari Melaka dan sudah mendirikan rumah tangga didakwa mempunyai perselisihan faham dalam hubungan dengan mangsa. – MalaysiaGazette