TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika mengadakan mesyuarat dengan wakil Chery di Kuala Lumpur, semalam. - Pic: FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka menjadi hab eksport kepada syarikat automotif Chery di rantau Asean bermula hujung tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sekali lagi bertemu dengan pihak Chery semalam bagi mendengar perancangan syarikat itu untuk memilih Malaysia.

Tambahnya, beliau pada Jun lalu turut melancarkan kilang pemasangan Chery di Shah Alam iaitu sebahagian daripada pelaburan RM1 bilion syarikat itu di Malaysia.

“Insya-Allah mereka akan mula mengeksport pada penghujung tahun ini.

“Saya harap kejayaan Chery akan menggalakkan lebih banyak pengeluar lain untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran mereka di rantau Asean,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Chery membuka kilang pemasangan kenderaan yang terletak di Shah Alam, Selangor iaitu sebahagian daripada keseluruhan RM1 bilion pelaburan di negara ini sejak tahun lalu.

Menurut Pengerusi Chery Automobile Co Ltd, Yin Tongyue, pembukaan kilang itu akan menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan dengan tambahan 1,000 jawatan di pusat jualan, servis dan alat ganti jenama kenderaan itu di seluruh negara.

Ujar Tongyue, Shah Alam terletak di lokasi strategik di zon perindustrian dan kilang itu beroperasi berhampiran pengeluar tempatan yang penting kepada rantaian bekalan.

“Kemudahan ini juga terletak tidak jauh daripada pelabuhan paling sibuk Malaysia yang merupakan pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara yang meningkatkan lagi tahap kesediaan pengeluar untuk mengeksport ke rantau Asean pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kilang tersebut. – MalaysiaGazette