Tangkap layar menunjukkan suspek mengacukan pisau sambil memegang kekasihnya di sebuah pasar raya di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada cuba dibunuh bekas teman lelakinya dalam kejadian di sebuah pasar raya di Bagan Ajam di sini, pada Ahad lalu.

Mangsa yang merupakan warga tempatan mengalami kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut untuk melepaskan diri susulan diserang suspek menggunakan senjata pisau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihak polis menerima panggilan daripada mangsa pada jam 8.45 malam yang memaklumkan diganggu bekas teman lelakinya.

“Mangsa turut memaklumkan diserang oleh suspek menggunakan pisau namun berjaya lelaki itu berjaya ditangkap orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Suspek yang ditangkap orang awam diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) telah melakukan tangkapan semula ke atas suspek.

“Suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan permohonan reman pada Isnin lalu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan didakwa di mahkamah selepas menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 28 saat menunjukkan seorang lelaki memegang sebilah pisau sambil merangkul leher seorang wanita di dalam sebuah pasar raya.

Kejadian itu turut disaksikan orang ramai, selain ada yang cuba membantu menyelamatkan mangsa. – MalaysiaGazette