PARIS – Dua pakar kesihatan menggesa penganjur Sukan Olimpik memutuskan hubungan dengan Coca-Cola, dengan berkata perjanjian penajaan membabitkan wang yang banyak telah membolehkan syarikat Amerika Syarikat (AS) ‘menggunakan sukan untuk mendapatkan perhatian masyarakat’ kepada minuman bergula yang tidak sihat.
Sukan Olimpik di Paris dibarisi iklan minuman bergas Coca-Cola yang menaja temasya sukan tersebut sejak 1928.
Bagaimanapun, minuman bergula ini ‘menawarkan sedikit atau tiada nilai khasiat’ dan mempromosikan produk-produk tidak sihat yang tiada tempat dalam dunia sukan, menurut Trish Cotter dan Sandra Mullin dari kumpulan kesihatan global, Vital Strategies.
Minuman bergula merupakan ‘pemacu utama’ kepada pelbagai masalah kesihatan yang serius yang memberi kesan kepada penduduk dunia, termasuk obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan serangan jantung, menurut kedua-dua individu itu dalam komentar pada jurnal BMJ Global Health.
Produk Coca-Cola juga menyumbang kepada pencemaran plastic global, pelepasan gas rumah hijau dan menggunakan air yang banyak, tambah mereka.
“Dengan terus berkongsi dengan Coca-Cola, pergerakan Olimpik melibatkan risiko menjadi subahat dalam epidemik pemakanan yang kurang baik global, kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim.
“Tiba masanya untuk Jawatankuasa Olimpi Antarabangsa (IOC) untuk memutuskan hubungan dengan Coca-Cola untuk kepentingan atlet, penonton dan planet,” katanya.
Coca-Cola tidak respon terhadap permintaan untuk mengulas perkara tersebut.
Pada 2020, syarikat gergasi makanan dan minuman AS secara bersama memeterai perjanjian bernilai AS$3 bilion untuk melanjutkan penajaan Sukan Olimpik.
Kerjasama itu akan berakhir pada 2032.
Cotter dan Mullin sedar pada tahun lalu Coca-Cola menaja lebih banyak acara sukan daripada jenama lain, termasuk syarikat pakaian sukan seperti Nike.
“Strategi ini memuncak pada peluang meraih pingat emas kepada ‘menggunakan sukan untuk mendapatkan perhatian masyarakat’ terhadap produk tidak sihat,” ujarnya.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa negara-negara melaksanakan cukai minuman bergula.
Satu petisyen telah dilancarkan sebelum temasya sukan itu yang meminta ‘Tendang keluar soda daripada sukan’ dengan mengumpulkan lebih 109,000 tandatangan dan disokong pelbagai pertubuhan kesihatan awam termasuk Persekutuan Obesiti Dunia. – AFP