Suspek lelaki warga Pakistan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membantu siasatan meliwat seorang pemuda yang datang untuk mencari kerja kosong di sebuah kedai perabot di Tanjong Minyak, Melaka semalam.

MELAKA – Seorang lelaki Pakistan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membantu siasatan meliwat seorang pemuda yang datang untuk mencari kerja kosong di sebuah kedai perabot, di sini, semalam.

Perintah reman sehingga 11 Ogos ini terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK)

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi memakai pakaian lokap berwarna jingga.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek ditahan sepasukan polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam berhampiran sebuah kedai perabot di Taman Tanjung Minyak Setia, Tanjung Minyak, di sini.

“Ia susulan pihaknya menerima laporan kejadian itu dibuat pengadu lelaki berusia 22 tahun yang mendakwa telah diliwat oleh suspek ketika datang untuk mencari kerja kosong di premis berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

“Suspek kemudian meminta pengadu naik ke tingkat atas untuk berjumpa dengan pengurus namun mendapati tiada sesiapa sebelum suspek menarik pengadu yang masih bujang masuk ke dalam sebuah bilik.

“Warga Pakistan itu kemudian mencium mulut, dada, leher, punggung dan betis pengadu sebelum meliwatnya menyebabkan mangsa menjerit dan meronta-ronta cuba melepaskan diri namun gagal,” katanya.

Difahamkan selepas berjaya melarikan diri, pengadu kemudian telah dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan lanjut mangsa mendapati ada kesan koyakan baru pada dubur mangsa.

Zainol berkata, hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek yang ditahan 6.30 petang semalam mendapati negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C KK iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii.

“Ia memperuntukkan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast