Anggota bomba mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit pada mesin buat mi di Taman Eco Perniagaan, Tebrau, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kilang menanggung kesakitan kira-kira 30 minit selepas tangan kanannya tersepit pada mesin buat mi di Taman Eco Perniagaan, Tebrau, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 petang itu, Muhammad Ikhmal Aiman Zainal, 23, sedang bekerja sebelum pergelangan tangan hampir ke siku tersepit.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan II Azami Yakup berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.12 petang.

“Susulan itu seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba menggunakan satu unit peralatan khas ‘multi tools‘ untuk mengeluarkan tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihak bomba memberikan rawatan awal selepas tangan mangsa dapat dikeluarkan sebelum pegawai perubatan datang menbantu.

Mangsa katanya, kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pukul 3.47 petang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast