MELAKA – Dua pelajar sebuah sekolah menengah di Cheng cedera selepas dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian langgar lari di persimpangan lampu isyarat Cheng Height, di sini.
Dalam kejadian pukul 4 petang semalam, kedua-dua mangsa berusia 17 tahun yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz mengalami luka di dahi, kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Sekolah Menengah Tun Hj Abdul Malik, Cheng menuju ke Krubong.
“Semasa sedang bergerak lurus berhampiran lampu isyarat Cheng Heights, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza didakwa mengubah laluan secara mengejut dan berlanggar dengan motosikal mangsa.
“Pemandu Alza, lelaki berusia 25 tahun bagaimanapun terus melarikan diri sebelum dikejar orang awam dan berjaya menahannya di sebuah kedai roti canai di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Bachang,” katanya hari ini.
Tambahnya, lelaki itu kemudian diserahkan kepada anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Malim dan tindakan lanjut dilakukan oleh Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
“Hasil ujian alkohol mendapati keputusannya adalah positif dan pemandu telah ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah.
“Mahkamah Majistret Melaka hari ini membenarkan pemandu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette