SEPANG – Seorang peniaga karpet mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membenarkan anak lelakinya memandu kenderaan Perodua Viva miliknya di atas jalan raya di Taman Putra Impiana, Puchong, 28 Julai lalu.
Tertuduh yang juga warganegara Pakistan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 29 Julai 2024 jam 6.30 petang di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Sepang sebagai pemilik motokar jenis Perodua Viva didapati telah membenarkan anak lelakinya memandu motokar tersebut di atas jalan.
Tertuduh yang juga pemegang kad pemastautin tetap (PR) menghadapi pertuduhan itu mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Akta ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Kes itu yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Bagaimanapun peguam, Nabila Rosli merayu agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai kes di bawah Akta Kanak-kanak 2001 di Mahkamah Sesyen yang mengenakan jaminan RM8,000.
Majistret Muhammad Bukhori bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 4 September ini sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes. – MalaysiaGazette