KUALA LUMPUR – Keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan tatacara baru dunia bagi menentang Israel diragui.
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy mendakwa, Anwar hanya boleh memainkan peranan tertentu mengikut kemampuan dan kapasitinya sebagai perdana menteri Malaysia namun di luar Anwar tidak mempunyai peranan yang boleh difikirkan.
“Anwar boleh terlibat dalam retorik politik untuk menyokong perjuangan Palestin, mungkin bertemu beberapa pemimpin Hamas dari masa ke masa, memberikan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin dan akhir-akhir ini telah mengumumkan rawatan perubatan rakyat Palestin yang cedera dalam konflik.
“Ini adalah perkara yang boleh dan patut dilakukan oleh Anwar. Selain itu, apa lagi yang boleh Anwar lakukan sebagai pemimpin Malaysia, sebuah negara berpendapatan sederhana kecil tanpa pengaruh politik global.
“AS dan kuasa besar lain mungkin menghargai persahabatan Malaysia, tetapi Anwar menerajui tatacara baru dunia mungkin memalukan negara,” katanya.
Ramasamy juga mendakwa Anwar tidak mempunyai ketegasan dan konsistensi dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan apatah lagi mewujudkan tatacara baru dunia baru.
Menurut Ramasamy, dalam isu Palestin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih tegas.
Beliau mengulas saranan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa Anwar supaya menggunakan pengaruh globalnya dan menganjurkan tatacara baharu dunia bagi menentang Israel.
“Mat Sabu secara naif beranggapan bahawa tatacara baru dunia baru boleh diwujudkan hanya kerana Anwar mempunyai profil antarabangsa yang tinggi.
“Tetapi malangnya, Mat Sabu dalam retorik politik “gaya kampung” biasa tidak pernah menyatakan sifat-sifat Anwar yang menawan.
“Mat Sabu sebagai ketua parti politik Amanah seharusnya sedar bahawa ada had yang pasti untuk apa yang beliau boleh katakan atau tidak katakan,” tambah beliau.
Justeru beliau menasihat Mohamad supaya menjalankan tugas sebagai menteri pertanian dengan berkesan.
Mohamad juga harus memastikan keterjaminan makanan dalam negara pada masa yang sama mengambil usaha yang diperlukan untuk mengawal harga produk pertanian.
Bercakap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad, Mohamad berkata, dunia tidak mungkin mengharapkan kuasa besar Barat seperti Amerika Syarikat dan Untited Kingdom untuk menangani kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel.
Justeru beliau berharap Perdana Menteri menggunakan pengaruh globalnya dan menganjurkan tatacara baharu dunia bagi menentang Israel.
“Wahai PM yang kukasihi, namamu begitu harum di seluruh dunia. Kamu berupaya membuat satu tatacara baru di dunia ini.
“Rapatlah dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel, tapi ajak mereka putus hubungan dengan Israel,” kata Mohamad.-MalaysiaGazette
Betul. Suara beliu sekadar bunyi tin kosong sahaja.