Penyampaian watikah pelantikan Abdul Rashid Hussain sebagai Pro Canselor baharu UTeM disempurnakan oleh Mohd Ali Rustam, semalam.

MELAKA – Tokoh korporat yang juga pengasas Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkuat kuasa 1 Mei 2024 lalu sehingga 30 April 2027.

Penyampaian watikah pelantikan Abdul Rashid telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Rustam selaku Canselor UTeM, pagi semalam.

Pelantikan Abdul Rashid adalah selari dengan momentum kecemerlangan UTeM yang terus menempa pelbagai kejayaan gemilang dalam negara dan turut mengharum di persada dunia.

Abdul Rashid merupakan pengasas Kumpulan RHB yang bermula sebagai syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn Bhd pada 1983 sebelum mengembangkannya menjadi salah sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia.

Beliau sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga dan pengerusi pertama Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998, di samping beliau juga pernah mencurahkan khidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga tahun 2000.

Sementara itu, beliau juga pernah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Malaysian Airline System Berhad dari 1993 hingga 1997 dan Cycle & Carriage Bintang Bhd dari 1993 hingga 2008.

Sebagai ahli pengasas dan Pengerusi Prime Minister of Malaysia’s Fellowship Exchange Foundation yang ditubuhkan pada 1993, Abdul Rashid telah memainkan peranan penting dalam memupuk budaya pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat merentasi semua bidang.

Terbaharu beliau telah dilantik sebagai sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji yang baharu bermula dari Disember 2023. – MalaysiaGazette