Tangkap layar menunjukkan ratusan penunggang motosikal melawan arus di BORR, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengesahkan video tular memaparkan ratusan penunggang motosikal bertindak melawan arus di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) berlaku ketika mereka cuba mengelak Operasi Samseng Jalanan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kejadian itu mendapat perhatian apabila pihaknya mengesan satu video tular jam 9 malam semalam yang memaparkan aksi tersebut.

Katanya, video berdurasi 38 saat itu menunjukkan sekumpulan penungang motosikal menunggang secara berbahaya dari arah Plaza Tol Bagan Ajam menghala Terminal Kontena Butterworth Utara.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku jam 7 malam ketika satu operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti SPU bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.

“Penunggang motosikal bertindak melawan arus bagi mengelak ditahan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Anuar berkata, menerusi operasi tersebut pihaknya menahan seorang penunggang motosikal mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya selain menyita 25 buah motosikal atas pelbagai kesalahan. – MalaysiaGazette