Bahrin (dua kiri) menunjukkan kabel dan barang lain yang dirampas dalam Ops Lejang/Lusuh, selepas sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang, hari ini

KLUANG – Polis menumpaskan Geng Amin Remis yang melakukan kegiatan mencuri kabel di kawasan landasan keretapi berkembar di Pekan Layang Layang dekat sini yang sedang dalam pembikinan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, geng berkenaan dikesan melakukan kegiatan tersebut sejak kira-kira sebulan lalu semata-mata mahu menjual kabel untuk mendapatkan beli dadah.

Menurutnya, empat lelaki tempatan daripada geng itu sanggup memanjat tiang pemasang kabel elektrik ladasan keretapi demi untuk mendapatkan kabel yang hanya berharga RM3 sekilogram.

“Bagaimanapun kegiatan geng ini yang melibatkan suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun tumpas dalam Ops Lejang/Lusuh selepas mereka berjaya ditangkap di empat lokasi berasingan di Layang Layang pukul 1 pagi, pada 2 Ogos lalu.

“Sebelum itu anggota Balai Polis Layang Layang menerima laporan kecurian kabel di landasan keretapi berkembar tersebut pada 31 Julai lalu.

“Kabel berkenaan merupakan signal ‘link’ untuk kereta api,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.

Bahrin menunjukkan empat suspek yang merupakan anggota geng Amin Remis berjaya ditumpaskan selepas melakukan kegiatan mencuri kabel sejak sebulan lalu

Katanya, hasil daripada tangkapan itu, pihak polis berjaya merampas sebuah kereta Proton Pesona, sebatang kunci, satu topi keselamatan warna kuning, satu helai ‘body vest’ warna hijau dan sebuah motosikal Honda Ex5 warna biru.

Turut sama dirampas ujarnya, kabel jenis ‘fiber optic’ (685 meter), lapan gulung kabel yang sudah dipotong, sebuah gergaji pemotong besi warna hitam dan sebilah pisau panjang 19 sentimeter.

Kata Bahrin lagi, hasil semakan mendapati tiga dari empat tangkapan itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik manakala seorang lagi tiada sebarang rekod.

Bagaimanapun katanya, semua tangkapan positif dadah jenis methamphetamine ketika saringan ujian air kencing dilakukan dan tahanan reman dikenakan dari 2 Ogos sehingga hari ini.

“Hasil daripada keatas semua tangkapan, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak lima kes kecurian kabel di Kluang dengan melibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM20,000,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast