Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

JOHOR BAHRU – Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu menyelesaikan isu perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota secara matang dan berdasarkan semangat kerjasama politik.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, ia bagi memastikan kerjasama politik BN dan PH dapat diteruskan dengan melihat kepada kesesuaian persefahaman demi masa depan negeri serta negara.

Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu berharap isu perebutan kerusi DUN Mahkota dapat diselesaikan dengan cara yang baik, muafakat dan istiqamah tanpa mencetuskan pertelingkahan.

“Kita percaya kepimpinan PH Johor dan Kerajaan Perpaduan amat peka tentang persefahaman dan ketetapan mengikut terma yang telah dipersetujui secara bersama-sama di peringkat nasional dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

“Seperti yang sedia maklum, bahawa dalam perbincangan dan persetujuan sebelum ini, siapa sahaja calon yang menduduki kerusi itu harus diganti dan diisi oleh calon daripada parti yang sama atau yang menang sebelum ini,” ujarnya menerusi hantaran video dalam TikTok malam tadi.

Kelmarin, Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

Desakan Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain itu berasaskan kemenangan parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selain sekali lagi bertanding kerusi itu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 2022.

Mohd Zuhan dilaporkan berkata, jika UMNO Johor yang mentadbir kerajaan negeri sedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai ahli majlis dan ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah sedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi  DUN Mahkota.

Susulan itu, pemimpin UMNO dan DAP Johor mengeluarkan kenyataan mahu kerusi berkenaan dikekalkan kepada penyandangnya iaitu UMNO manakala pemuda Amanah pula berkeras mahu menuntut kerusi tersebut walaupun terpaksa bertanding tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, semua pihak tidak perlu terburu-buru dan mengapi-apikan isu berkenaan dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaaan.

“Jangan kerana perebutan kerusi DUN Mahkota, kita hilang arah dan punca untuk mendapatkan tempat dan jawatan dalam kerajaan ini,” ujarnya.

Katanya, budaya UMNO dan BN adalah tidak tergesa-gesa untuk meletakkan calon selain menghormati keluarga penyandang kerusi DUN Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Pihak lain juga perlu sensitif mengenai perkara ini dengan tidak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” ujar beliau.

Mengenai desakan Amanah Kawasan Kluang, Halim menjelaskan, bukan mudah untuk sebuah kerajaan negeri sesuka hati mengubah polisi yang sudah ditetapkan termasuk lantikan Exco kerajaan negeri, ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat.

“Apabila ada yang mempertikaikan (kerajaan negeri tidak mengikut acuan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat kerana tiada wakil PH dalam pentadbiran kerajaan negeri), mereka kena ingat BN yang bergerak solo dan memenangi PRN Johor pada 2022,” katanya.

Kata Halim, sebagai parti yang bersama-sama dalam gabungan antara BN dan PH, Amanah harus menghormati keadaan dan ketetapan tersebut.

“Walaupun tak ada jawatan dalam kerajaan, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berlaku adil dengan memberi peruntukan ke kawasan masing-masing bagi perkara berkaitan untuk diselesaikan mengikut ketetapan yang dipersetujui,” ujarnya.- MalaysiaGazette