Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar

KUALA LUMPUR- Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata, lantikan tersebut berkuat kuasa Isnin depan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai KSN yang baharu berkuat kuasa mulai 12 Ogos bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 0gos 2024,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Shamsul, 55, berkelulusan ljazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

Tambahnya, Shamsul mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Shamsul pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga Pentadbiran Kerajaan Negeri. Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah UKAS,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Mohd Zuki atas khidmat beliau selama memegang jawatan KSN.

Sebagai rekod, Zuki dilantik semula kepada jawatan tersebut secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 11 Ogos 2022.

Mohd Zuki berkerja di bawah empat Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette