Murid SK Kukuro bersama rombongan UMS.

 

KOTA KINABALU – Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Non Residen bersama-sama Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) telah menyantuni murid-murid di SK. Kukuro, Beaufort menerusi penganjuran Program Santunan Kasih di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Pengarah program, Siti Shazlinah Aripin berkata, seramai 25 pelajar NR UMS dari Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) yang diketuai Ag.Ku Ade Az Zarief telah menyertai program tersebut.

“Program Tanggungjawab Sosial Masyarakat ini bertujuan untuk menyantuni sekali gus memberi sumbangan khidmat masyarakat kepada pihak sekolah dan murid-murid sekolah luar bandar dalam daerah Beaufort.

“Beberapa aktiviti diadakan seperti program Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan motivasi, penanaman anak pokok di kawasan sekolah dan lukisan mural di bangunan sekolah serta program gotong royong membersihkan sekitar premis sekolah,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 20 murid dan 10 tenaga kerja di sekolah tersebut.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Kukuro, Abdul Mikri Amit merakamkan penghargaan
kepada pihak UMS yang berbesar hati untuk mengadakan program CSR buat julung kalinya di sekolah tersebut.

“Setinggi penghargaan diucapkan khususnya kepada Naib Canselor UMS dan pihak PNRF serta JAKMAS NR atas inisiatif mengadakan program murni ini.

“Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya.

Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort, Safni Kili turut
mengharapkan agar lebih banyak sekolah di daerah Beaufort akan terpilih untuk pelaksanaan program seumpama itu. – MalaysiaGazette