Suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru dan Mahkamah Kulai, esok

JOHOR BAHRU – Suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu akan didakwa dengan 15 pertuduhan di Mahkamah Johor Bahru dan Mahkamah Kulai esok.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan terhadap suspek yang sudah diserah kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya Johor.

“Suspek berdepan tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah dan masing-masing satu pertuduhan bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 346 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.

“Selain itu, suspek juga akan dituduh dengan empat pertuduhan dibawah Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta masing-masing satu pertuduhan bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Kumar menasihatkan masyarakat khususnya ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti dan perkembangan emosi anak-anak mereka agar jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan dan dicegah awal.

“Orang ramai diminta terus membantu polis dalam membanterasnya aktiviti jenayah di kawasan mereka dengan menyalurkan maklumat di talian 019-2792095 atau 07-2212999,” katanya.

Kumar sebelum ini memaklumkan pemeriksaan doktor terhadap mangsa mendapatkan kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat dan tidak diapa-apakan suspek sepanjang tempoh diculik.

Pada 4 Ogos lalu, suspek berusia 31 tahun itu ditahan semula bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo Jia Hui ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi libatkan kanak-kanak.

Terdahulu, suspek ditahan pada 23 Julai selepas polis Johor berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu yang berada di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor selepas tiga hari diculik suspek.- MalaysiaGazette